PETALING JAYA: Malaysia perlu memanfaatkan lawatan Presiden Xi Jinping untuk memperluas kerjasama ekonomi dengan China dan mencari penyelesaian konflik di Laut China Selatan.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, dalam bidang ekonomi, lawatan Xi memberi ruang kepada Malaysia memperkukuh kerjasama dalam sektor teknologi hijau seperti kenderaan elektrik, tenaga boleh diperbaharui (RE), digitalisasi dan logistik.
“China rakan dagang terbesar kita dan tumpuan perlu diberi kepada pemindahan teknologi dan pelaburan yang memberi nilai tambah ekonomi negara, bukan sekadar pembangunan infrastruktur fizikal,” katanya.
Mengenai kedudukan Malaysia dalam isu Laut China Selatan, beliau berkata, pendekatan diplomasi berhemah namun tegas perlu diteruskan bagi mempertahankan kepentingan negara.
Memanfaatkan sepenuhnya lawatan dalam membentuk hala tuju kerjasama seimbang dalam konteks geopolitik semasa dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Suarakan pendirian dalam isu sensitif seperti pencerobohan kapal tentera dan nelayan China di perairan Malaysia.
“Hubungan perdagangan tidak wajar menjadi alasan untuk berdiam diri dalam isu kedaulatan malah perlu berani menegaskan hak berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) agar integriti wilayah kita terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata, lawatan itu boleh memacu kerjasama dalam sektor digital seperti pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI), serta industri logistik melibatkan pembangunan pelabuhan dan laluan perdagangan. – UTUSAN