Pelangi Senja balada paling ikonik Stacy - Utusan Malaysia

Pelangi Senja balada paling ikonik Stacy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA Akademi Fantasia musim enam (AF6) pada 2008, Stacy mencetus budaya hiburan baharu yang memberi impak besar kepada masyarakat dan industri muzik negara – berawal kejuaraannya di musim itu sehingga munculnya kejayaan lagu pop rock, Aku Stacy.

Stacy yang turut dikenali sebagai Bunga Cantik berperanan sebagai penggerak aliran muzik pop tarian dan elektropop cukup masyhur yang terbukti menerusi penerbitan tiga album, Aku Stacy (2009), Stay~C (2011) dan #1 (2014) sehingga mendapat gelaran Ratu Tari Malaysia.  

Mudah untuk pendengar menerima haluan muziknya, malah satu demi satu lagu hit antaranya Pakai Buang, Gagap, Jahat, Kasanova, Bosan, Not For Sale dan Gila Lah! yang membentuk wanita berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu sebagai penyanyi nasional dengan pengaruh cukup besar di zamannya. 

Dominasi lagu pop tarian dan elektropop tempatan dalam tempo yang cepat menyerlahkan bakat empunya nama, Ummu Shaikhah Stacy Anam sebagai pemain seni suara yang energetik, namun tidak untuk lagu-lagu berilham balada. 

Dalam melunas hasrat dan pasaran muzik Malaysia, pasti tidak boleh lari daripada produk berentak balada dan Stacy sudah memenuhi tuntutan itu bermula Cinta Yang Ku Duga (2009), Pelangi Senja dan Kisah Dongeng (2012) kemudian berakhir kegagalan komersial single berjudul Peluk (2021).

Pelangi Senja, hadir sebagai produk pop balada paling ikonik di sepanjang perjalanan repertoire Stacy, malah ia masih menjadi antara playlist terus didengari hingga kini.

Meskipun Pelangi Senja tidak mempunyai perbezaan besar dengan lagu-lagu balada beredar ketika itu, namun, ia cukup memberi satu anjakan dalam diskografi Stacy sebagai antara gerakan muzik pop tarian dan elektronik tanah air. 

Saya juga tidak boleh menyamakan rakaman vokal Stacy dengan penyanyi wanita lain yang kedengaran lebih halus, lembut dan mendayu-dayu. Sebaliknya, dia memiliki lantunan suara lebih nyaring dan solid yang sesuai untuk bernyanyi lagu-lagu rancak. 

Maka, persembahannya dengan seperti itu kemudian menyanyikan lagu balada menjadikan Pelangi Senja sebagai satu persembahan yang unik, terkelas dan malar segar. 

Ilham melodi membawa saya dalam satu nostalgia yang sentimental. Pendengaran saya tertarik pada graf melodi yang mana walaupun bergerak secara seragam di setiap rangkap lagu, namun, penulis mengembangkan liriknya di setiap bahagian dengan menjaga rima dalam pemilihan kosa kata – memberi satu groove yang mengikat pendengaran.   

Contohnya di rangkap pertama: 

Ku bermimpi

Engkau Kembali

Wajah tenang kau berkata

Sayang, aku cinta

 

Namun kita takkan bersama

Dikau pergi takkan kembali

Sesal ku kecewa

 

Dan selepas korus: 

 

Ku terjaga

Dari mimpi lena

Sedar pipi dibasahi

Tangisku sendiri

 

Merintih perasaan ini

Tiada kata mampu diungkap

Tiada yang mengerti

 

Pelangi Senja produk balada Stacy yang paling berjaya dalam pasaran walaupun Warner Music ketika itu meletakkan satu lagu balada, Kisah Dongeng sebagai single pertama disusuli muzik tarian elektronik, Kasanova.

Malangnya, di Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27), Pelangi Senja gagal meraih sebarang anugerah dan membuka peluang kepada kemenangan Terukir Di Bintang (Yuna/Aizat).

Walaupun langkah bermuzik Stacy hari ini kedengaran lebih berevolusi, tetapi, Peluk pun tidak mampu menyaingi kekuatan Pelangi Senja dan Kisah Dongeng

Selain itu, seandainya Maestro Records tidak meminggirkan Cinta Yang Ku Duga sebagai single yang boleh-pasar di awal zaman kegemilangannya, saya pasti, ia menjadi kejayaan balada pertama Stacy.

Seboleh-bolehnya, saya mahu menyaksikan Stacy muncul kembali dengan lagu balada yang setanding Pelangi Senja atau sekurang-kurangnya Kisah Dongeng, kerana saya percaya kedua-dua lagu berkenaan pengukur kemampuan Stacy dalam mempersembah lagu balada yang sentiasa menjadi cabaran untuknya. 

Di sudut lain, sejak selepas penerbitan Cakap Ke Tangan (2017) dan Khayal (2019), saya sebenarnya sudah tidak lagi meletakkan harapan terlalu tinggi untuk dia meneruskan pengaruh muzik elektropop dan tarian popnya kerana Duit, Teriak dan Menyala tidak membawa Stacy ke tahap yang lebih tinggi berbanding lagu terdahulunya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya