SUBANG JAYA: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terjejas akibat tragedi paip gas Putra Heights akan diberikan kelonggaran bagi proses pendaftaran mereka pada Isnin depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pelajar yang menghadapi kesulitan akibat insiden tersebut tidak perlu hadir pada hari pendaftaran selain diberikan tempoh tambahan.
“Saya telah memaklumkan kepada pihak universiti supaya memberikan sedikit ruang kepada pelajar yang terjejas untuk mendaftar,” katanya.
Selain itu, beliau akan menggantikan komputer riba milik pelajar yang terlibat dengan insiden kebakaran itu.
“Seorang pelajar IPT ada memaklumkan kepada saya bahawa komputer riba miliknya musnah dalam kebakaran tersebut. Saya telah berjanji kepada beliau bahawa komputer tersebut akan digantikan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Yayasan Siswa Perdana telah menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM2,000 kepada setiap pelajar yang terjejas bagi meringankan beban mereka.-UTUSAN