Seramai 35 pelajar daripada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), SMK Taman Seri Rampai diraikan oleh syarikat menjual barangan bayi, Tropica Sdn. Bhd dalam Program Iftar Ihya’ Ramadan di Titiwangsa, baru-baru ini.
Pengurus Pemasaran Tropika, Noah Majidi berkata, program tersebut membuka peluang kepada orang ramai untuk lebih cakna terhadap kebajikan anak-anak istimewa serta menjalinkan hubungan jangka panjang yang bermanfaat.

Kata Noah, majlis berbuka puasa itu bukan sekadar acara amal, tetapi juga peluang untuk memberi kesedaran kepada lebih ramai pihak mengenai realiti yang dihadapi oleh anak-anak PPKI dalam masyarakat setempat.
“Dengan program seperti ini, kami yang hanya duduk bekerja di kilang, dapat keluar berjumpa dan berinteraksi dengan lebih rapat bersama anak-anak istimewa ini.

“Anak-anak PPKI ini juga diberi peluang untuk bergaul dengan masyarakat, jadi mereka tidak terlalu takut untuk berhadapan dengan orang ramai, “ ujarnya.
Tambahnya, aktiviti seperti itu membantu pihaknya mengetahui dengan lebih mendalam kehendak sekolah terutamanya untuk kelas pendidikan khas.
“Kami memang terbuka untuk memberi sumbangan dan dengan adanya program seperti ini, ia membantu lebih memahami keperluan sekolah sebelum memberikan sumbangan kepada mereka.
“Pihak kami tidak mengharapkan sebarang balasan daripada pihak sekolah kerana ini adalah salah satu usaha dalam memberikan kembali kepada masyarakat,” tambahnya.
Menurut Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Taman Seri Rampai, Ampandi Omar, program seumpama itu merupakan satu usaha untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang keperluan pelajar di PPKI dan kepentingan program tersebut di setiap sekolah.


Tambahnya, keperluan dan fasiliti untuk kelas PPKI masih kurang memandangkan bilangan murid yang agak ramai serta keadaan kelas yang kurang selesa.
“Ada maklumat yang kami bakal mendapat bangunan baharu, tetapi buat masa ini, kami terpaksa menggunakan apa yang ada.
“Kami mengalu-alukan lebih banyak pihak, termasuk syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), untuk turut serta dalam memastikan PPKI terus berkembang dan memberi manfaat kepada pelajar yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata program tersebut bukan sahaja menggembirakan pelajar, malah membantu meningkatkan keyakinan diri anak-anak PPKI ini berinteraksi dengan masyarakat.
“Kesedaran masyarakat terhadap golongan ini masih perlu ditingkatkan serta memberi peluang kepada mereka untuk membina kemahiran dan keyakinan dalam berinteraksi dengan dunia luar,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada salah seorang pelajar PPKI, Aizan Yaacob, 56, berkata, penerimaan golongan istimewa dalam masyarakat masih kurang berbanding di luar negara.
Katanya, pemikiran negatif terhadap anak-anak PPKI masih wujud dalam segelintir masyarakat yang memandang rendah akan kemampuan dan kemahiran golongan tersebut.
“Anak saya, Ilham dulu dilahirkan di United Kingdom. Semenjak kami berpindah dan Ilham mula bersekolah di sini (Malaysia), kami dapat rasakan perbezaan dari segi penerimaan dan pandangan orang kita,” jelasnya.
Aizan berharap lebih banyak pihak industri tampil menyokong pendidikan anak-anak istimewa dengan menyediakan program yang sesuai dengan keperluan mereka.
“Kesedaran masyarakat terhadap anak-anak istimewa ini ada, tetapi usaha untuk membantu mereka masih kurang. Mereka ini mempunyai cara pembelajaran yang tertentu, tetapi sekolah menghadapi kekangan dari segi modul pembelajaran dan peruntukan. “Sebagai contoh, anak saya minat kepada gajet, maka program berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) mungkin lebih sesuai. “Jika lebih banyak pihak tampil membantu, mereka bukan sahaja mendapat pendidikan yang lebih baik, tetapi uga lebih diterima dalam masyarakat,” katanya kepada Utusan Pelajar.- UTUSAN