PETALING JAYA: Pelajar yang didakwa terlibat dalam kes buli di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang digantung bagi membolehkan siasatan dibuat.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau memberi jaminan bahawa sebarang salah laku buli tidak akan ditutup malah akan diambil tindakan paling tegas dan keras agar menjadi pengajaran buat semua pelajar.
Katanya, pihak Jawatankuasa Disiplin MRSM berkenaan bersidang petang ini juga untuk memanggil semua pihak yang terbabit. Saya bagi jaminan
“Saya ingatkan sekali lagi pembuli dan apa jua bentuk budaya buli tiada tempat di mana-mana Institusi Pendidikan Mara termasuk MRSM.
“Tiada ruang untuk pembuli. Tiada toleransi terhadap mana-mana pihak yang cuba membudayakan buli dalam apa jua bentuk di MRSM institusi yang sepatutnya menjadi medan melahirkan pemimpin masa hadapan negara.
“Kita akan pastikan tindakan tegas diambil. Buli bukan budaya kita,” katanya dalam Facebook beliau.
Beliau merujuk dakwaan yang tular di media sosial berhubung kejadian buli yang berlaku di sebuah MRSM di negeri utara baru-baru ini. – UTUSAN