Pelajar cacat penglihatan tidak sangka dapat 7A

Pelajar cacat penglihatan tidak sangka dapat 7A

IMAN Ar Rasyid Md. Fariz (dua dari kanan) yang mengalami masalah penglihatan meraikan kejayaan mendapat keputusan cemerlang 7A dan 1B bersama-sama ahli keluarganya di Taman Nusa Perintis, Iskandar Puteri, Johor hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: “Saya jangka hanya boleh dapat 5A sahaja, tidak sangka dapat 7A,  terkejut sangat.” 

Itu luahan Iman Ar Rasyid Md  Fariz, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini, di sini yang berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 meskipun mengalami masalah penglihatan.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, kejayaan tersebut amat bermakna baginya yang berdepan pelbagai cabaran sejak kecil, khususnya masalah glaukoma yang dihadapinya sejak berumur tujuh tahun.

“Saya memang tak sangka langsung boleh capai 7A dan 1B. Semasa percubaan cuma dapat 2A, tapi saya bersyukur, semua pengorbanan ibu bapa, guru, adik-beradik dan kawan-kawan berbaloi.

“Sepanjang SPM, saya duduk di kelas khas sebab perlu masa tambahan, masa periksa rasa tenang, tapi tetap gementar. Saya cuma fokus dan tawakal,” katanya yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.

Dia baru sahaja menjalani pembedahan mata di sebuah hospital swasta semalam bagi memasukkan tiub di mata kiri bagi membantu pengaliran bendalir mata.

ImanAr Rasyid turut menasihatkan calon-calon SPM yang lain agar tidak berputus asa dan menerima kekurangan diri dengan reda.

“Kalau rasa sedih, jangan lama-lama, tenangkan diri, yakin pada diri sendiri dan ingat pada Allah. Saya dapat kekuatan daripada doa dan sokongan semua,” katanya.

Ibu dan bapa Iman, Zubaidah Abd. Rahman dan Md. Fariz Ahmad Sanusi, kedua-duanya berusia 51 tahun, turut berbangga dengan pencapaian anak mereka yang dianggap luar biasa.

‘Iman kini bersedia untuk melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyambung pelajaran di luar demi mengejar cita-citanya,” kata Zubaidah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya