KULAI: Kira-kira 40 individu dipercayai menjadi mangsa penyebaran gambar lucah palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi ‘deepfake’ membabitkan sebuah sekolah menengah di daerah ini.
Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching selepas menerima aduan daripada seorang alumni sekolah berkenaan yang menghubungi pejabatnya.
Ia kemudian diikuti seorang lagi ahli keluarga kepada mangsa lain dan mangsa terdiri daripada bekas pelajar serta pelajar sekolah berkenaan termasuk yang berusia 14 tahun.
“Kami dimaklumkan terdapat beberapa kumpulan media sosial yang menyebarkan gambar-gambar yang telah dimanipulasi secara digital. Kemungkinan masih ada mangsa yang belum menyedari bahawa gambar mereka telah digunakan dan disebarkan tanpa kebenaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Katanya, seramai tujuh mangsa telah dibantu pegawai dari pejabat beliau untuk membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai meminta supaya individu yang menjadi mangsa tampil membuat laporan dan tidak berdiam diri.
“Insiden ini bukan sahaja pencabulan serius terhadap privasi dan maruah peribadi malah juga berpotensi meninggalkan trauma psikologi yang mendalam kepada para mangsa. Sama ada anda perlukan nasihat guaman, sokongan emosi atau hanya seseorang untuk mendengar, hubungilah pejabat dan kami sedia membantu,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar memaklumkan pihaknya telah
menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan menyunting gambar lucah menggunakan wajah mangsa dan mengedarkannya dalam media sosial untuk dijual kepada orang awam.
Nie Ching berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga telah diminta bekerjasama rapat dengan pihak polis bagi mempercepatkan siasatan.
“Penyalahgunaan teknologi ‘deepfake’ antara ancaman digital yang paling membimbangkan masa kini. Kementerian Komunikasi telah meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tahun lalu untuk memperkukuh peruntukan terhadap kesalahan ini,” katanya. – UTUSAN