Pelaburan RM27.4 bilion suku pertama 2025 petunjuk positif impak JS-SEZ – Onn Hafiz
KHAIRUL MOHD ALI
JOHOR BAHRU: Johor terus mencipta lonjakan dalam landskap pelaburan apabila merekodkan jumlah pelaburan bernilai RM27.4 bilion pada suku pertama tahun ini, satu pencapaian luar biasa yang mencerminkan keberkesanan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan angka itu sebagai suatu permulaan yang amat membanggakan, apatah lagi ia mengatasi jumlah pelaburan RM20 bilion yang dicapai dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu.
Katanya, kejayaan ini dicapai meskipun dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi Johor dan hala tuju strategik yang sedang digerakkan menerusi JS-SEZ.
“Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah mengenai nilai pelaburan RM27.4 bilion yang dicapai. Ini bukan sahaja angka membanggakan, tetapi juga isyarat jelas bahawa Johor berada di landasan tepat. Dan ini hanyalah permulaan,” katanya kepada media selepas menghadiri program Townhall Visit Johor 2026 di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar dan Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim.
Menurut Onn Hafiz, pelaburan berkenaan merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk farmaseutikal, teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), pembuatan serta semikonduktor – sekaligus memperkukuh asas ekonomi masa depan Johor yang berorientasikan inovasi dan teknologi tinggi.
Katanya, kejayaan itu hanya mampu dicapai menerusi kerjasama erat semua pihak, baik kerajaan negeri, agensi persekutuan mahupun komuniti pelabur, yang saling berperanan memperkasa ekosistem pelaburan Johor.
Sementara itu beliau turut mengumumkan forum ekonomi berskala besar bakal berlangsung Isnin depan, melibatkan lebih 800 pemain industri tempatan dan antarabangsa yang akan berhimpun bagi meneroka potensi kerjasama rentas sempadan menerusi JS-SEZ.
“Forum ini mencerminkan keyakinan tinggi terhadap masa depan Johor. Maklum balas yang kita terima sangat positif dan saya percaya ia akan terus melonjakkan kemasukan pelaburan ke negeri ini dalam tahun-tahun akan datang,” katanya.
Rabu lalu, Pemangku Sultan Johor dalam satu kenyataan bertitah bahawa kejayaan pelaburan ini didorong pelbagai dasar dan inisiatif proaktif kerajaan negeri, termasuk pelaksanaan awal JS-SEZ yang kini menjadi pemacu utama pertumbuhan Johor. – UTUSAN