TAMPIN: Seorang pekerja penyelenggaraan menara telekomunikasi meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika berada di atas pencawang menara berkenaan dalam kejadian di Jalan Jelai-Pasir Besar di Gemas dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pihak Balai Polis Gemas telah menerima panggilan dari orang awam kira-kira pukul 5.15 petang memaklumkan terdapat seorang lelaki pekerja penyelengaraan telah tidak sedarkan diri di lokasi tersebut.
Menurutnya, pihak polis dan bomba telah ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat seorang lelaki berada pada paras ketinggian 60 meter di atas pencawang tersebut.
“Pihak bomba telah berusaha menyelamatkan mangsa yang berusia 31 tahun dengan memberikan bantuan pernafasan dan mangsa berjaya dibawa turun pada pukul 9.20 malam.
“Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak doktor, dari Klinik Kesihatan Jelai,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien lagi, hasil siasatan yang dijalankan semasa kejadian mendapati mangsa sedang menjalankan kerja-kerja penyelengaraan pencawang telekomunikasi bersama rakan sekerjanya.
Menurutnya, mangsa telah memanjat pencawang seorang diri manakala rakannya masih berada di bawah pencawang.
“Mangsa ada memaklumkan kepada rakannya yang dia dalam keadaan penat dan rasa kebas di tangan serta tidak larat untuk turun dari pencawang tersebut,” katanya.
Menurutnya, mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
“Siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca kematian,” katanya. – UTUSAN