PEKA dakwa MB Perak angkuh

PEKA dakwa MB Perak angkuh

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) membidas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung nasihatnya kepada Orang Asli supaya tidak terpengaruh pihak tertentu yang membawa agenda tersendiri.

Presidennya, Rajesh Nagarajan berkata, pihaknya mengecam kenyataan Saarani yang disifatkan sebagai angkuh itu.

“Menteri Besar dengan segala ‘kebijaksanaannya’ telah membuat kesimpulan awal bahawa tiada pencerobohan berlaku tanpa melawat kawasan pencerobohan tersebut dan tanpa berbincang dengan masyarakat Orang Asli yang terkesan.

“Ini merupakan satu kenyataan kosong daripada beliau bahawa tiada pencerobohan berlaku. Bolehkah beliau membuktikan bahawa Orang Asli di Chang Lama pernah dirujuk ataupun persetujuan daripada mereka telah diperolehi?” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Saarani dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pihak berkuasa negeri itu gagal melindungi tanah adat Orang Asli di Kampung Chang Lama, Bidor daripada pencerobohan syarikat kuari, Siong Emas Sdn Bhd. (Siong Emas).

“Saya nasihatkan Orang Asli jangan sangat terpengaruh dengan apa-apa dakyah yang tak betul.

“Kita nak bangunkan negeri termasuk bangunkan Orang Asli,” katanya kepada media selepas menghadiri satu program di Sekolah Menengah Sains Tapah, semalam.

Rajesh turut menuntut Jabatan Kemajuan Orang Asli menjalankan siasatan segera bagi menetukan bagaimana tanah warisan Orang Asli boleh dimiliki oleh Siong Emas.

“Bagaimanakah sebuah syarikat Sdn Bhd memperoleh hak milik tanah ke atas tanah warisan Orang Asli?

“Kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan tindakan-tindakan yang memihak Orang Asli apabila menangani sebarang isu yang melibatkan masyarakat Orang Asli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya