PDRM serah SPRM siasat isu rasuah babit kontrak C4i

PDRM serah SPRM siasat isu rasuah babit kontrak C4i

TAN SRI RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung dua pegawainya berpangkat superintenden dan inspektor antara ditahan kerana disyaki terlibat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan awal adalah di peringkat PDRM sendiri apabila semakan berkaitan kontrak C4i itu mendapati terdapat pembayaran yang tidak sepatutnya diluluskan.

Kata beliau, siasatan dijalankan Audit Kewangan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sejak tahun lepas.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat pembayaran yang tidak sepatutnya kepada syarikat terbabit dan dimaklumkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Jadi kita menghantar surat kepada SPRM untuk menjalankan siasatan hasil penemuan PDRM itu.

“Apa-apa kesalahan membabitkan rasuah yang kita (PDRM) temukan dalam siasatan, kita akan bekerjasama SPRM termasuk dalam kes ini,” katanya di sini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dan dua pegawai polis antara enam individu ditahan membuat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta bagi Perolehan Kontrak Perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i).

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 April 2025 dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 dan 50-an ditahan sekitar pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga tahun ini.

Nilai projek C4i keseluruhannya dianggarkan bernilai kira-kira RM70 juta yang diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Penggeledahan turut dilakukan di 15 lokasi termasuk di KDN dan beberapa buah syarikat di sekitar Johor, Selangor, Putrajaya serta Kuala Lumpur.

Susulan itu, SPRM menyita empat unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1.3 juta selain membekukan 51 akaun bank melibatkan 30 akaun individu dan 21 akaun perniagaan milik 10 syarikat yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM3.5 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya