SEREMBAN: Pihak berkuasa tempatan telah diminta untuk menyiasat dan melakukan pemeriksaan berhubung video tular di media sosial memaparkan kerja pembinaan projek perumahan baharu berhampiran dengan laluan paip gas yang didakwa berlaku di Sendayan di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, beliau juga telah meminta pihak berwajib untuk memeriksa sama ada kerja-kerja berkenaan sama ada sudah memasuki rezab jalan ataupun tidak.
“Laluan paip gas ini bukan di bawah Petronas namun di bawah Gas Malaysia. Difahamkan, ia merupakan sambungan paip kecil dari paip besar ke kawasan industri sekitar serta terletak di rezab jalan.
“Papan tanda amaran memang ada diletakkan di situ. Saya sudah maklumkan kepada pemaju dan PBT untuk lihat kembali projek ini dan kerja-kerja berhampiran paip gas,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi 28 saat di media sosial memaparkan projek pembinaan taman perumahan baharu yang didakwa berlaku di Sendayan di sini dan berhampiran dengan laluan paip gas.
Video berkenaan menimbulkan reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang bimbang kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas seperti di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor minggu lalu akan berulang. – UTUSAN