Pasaran komoditi negara kekal berdaya saing, Malaysia masih ada kelebihan tarif

Pasaran komoditi negara kekal berdaya saing, Malaysia masih ada kelebihan tarif

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasaran komoditi negara tidak terkecuali daripada kesan tarif dilaksanakan Amerika Syarikat (AS), namun kekal berdaya saing berbanding negara pengeluar sedia ada.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, berbanding Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, Malaysia masih ada kelebihan dari segi tarif.

Beliau berkata, pasaran komoditi negara terutama kelapa sawit tetap ada kelebihan berbanding Indonesia.

“Jika dibandingkan kita dengan Indonesia, Indonesia kena 32 peratus (tarif) dan kita (Malaysia) kena 24 peratus. Jadi, dari segi itu kita ada kelebihan.

“Dalam konteks komoditi ini, kita mengeksport sekitar RM21 bilion nilai komoditi ke Amerika Syarikat termasuk minyak kelapa sawit, getah dan perabot setiap tahun.

“Tapi buat masa ini, kita diberi penangguhan tarif selama 90 hari, jadi operasi eksport berjalan seperti biasa dalam tempoh itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Rasmi Forum Perhutanan, Pertanian, Komoditi dan Perdagangan (FACT) 2025, di sini.

Katanya, walaupun China dikenakan tarif tinggi oleh Amerika Syarikat, republik itu mempunyai kapasiti pasaran yang besar dan ia mungkin akan memperluas produk mereka ke negara lain.

Johari berkata, industri komoditi negara pastinya tidak dapat mengelak daripada mematuhi ketetapan oleh pasaran luar, namun pihaknya akan sentiasa meneliti perkembangan semasa.

“Sebagai kementerian yang menguruskan eksport barangan kita, jumlah keseluruhan eksport kita ke seluruh dunia adalah sebanyak RM186 bilion setahun.

“RM120 bilion daripadanya adalah minyak sawit dan produk berkaitan. Baki selebihnya adalah daripada komoditi lain.

“Kami melihat bahawa tarif yang dikenakan ini bukanlah pilihan kita kerana apabila AS mengambil tindakan sedemikian, itu adalah hak mereka. Maka, kita perlu menyesuaikan diri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya