KOTA BHARU: Pas bercadang menggunakan strategi Sungai Bakap untuk menumbangkan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Yusri Baki atau Ustaz Yusri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan supaya ia bersesuaian dengan keadaan dan situasi setempat.
“Kita (Pas) rasa pengalaman di PRK DUN Sungai Bakap boleh diguna pakai untuk menentang BN yang mungkin mengekalkan strategi mereka di PRK DUN Nenggiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Rumah Tebuka Aidilfitri Pas Kawasan Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar memberitahu, Pas yakin calon diketengahkannya bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK itu mampu menandingi calon BN.
Katanya, latar belakang agama memang menjadi asas utama bagi Pas dalam memilih calon pilihan raya termasuk pertimbangan lain yang diambil kira adalah aspek boleh menang.
Ujarnya, hal ini kerana di sesetengah tempat, tahap kelulusan calon bukan menjadi keutamaan masyarakat yang lebih mementingkan sama ada calon dipilih boleh berkhidmat untuk masyarakat atau sebaliknya.
“Contohnya PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang), calon Pas, Abidin Ismail juga berkelulusan lebih rendah berbanding calon BN tetapi beliau dipercayai boleh membawa suara rakyat yang mendorong kemenangannya. Jadi kita berharap pertimbangan sama dapat ditunjukkan oleh pengundi-pengundi di DUN Ayer Kuning terhadap calon yang bakal diketengahkan oleh Pas,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pergolakan dalaman Pas yang didakwa berlaku ketika ini hanya spekulasi dibuat oleh cybertrooper bertujuan menimbulkan rasa kurang senang kepada ahli menjelang pemilihan jawatan parti itu sempena Muktamar Pas ke-71 di Alor Setar, Kedah, September ini.
Katanya, tindakan itu seolah-olah mahu melaga-lagakan ahli dan kepemimpinan Pas dan memanaskan suasana menjelang muktamar.
“Khabar angin itu adalah kerja cybertrooper. Sebenarnya tiada masalah kerana kita bertanding ini berdasarkan pencalonan daripada Pas kawasan. Saya sendiri tidak tahu dicalonkan atau tidak pada muktamar kali ini, malah tak ada apa-apa rancangan untuk kempen atau sebagainya,” katanya. – UTUSAN