Pas bazir wang, tenaga tanding PRK Ayer Kuning

Pas bazir wang, tenaga tanding PRK Ayer Kuning

Mohamad Yusri Bakir (tengah) menjadi taruhan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 April ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas hanya membazir tenaga dan wang ringgit apabila meletakkan calon bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, mengikut perkiraan politik kalau dicampur undi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya sebelum ini tidak mungkin akan memberi kemenangan kepada PN dalam PRK kali ini.

“Malah, kalau berlaku pengurangan undi kepada PH-BN sekali pun ia disebabkan pengundi luar yang mungkin tidak pulang tetapi peratusannya amat kecil berbanding kelompok pemilih yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

BN mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri Bakir, 54, sebagai calon gabungan itu dalam misi mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning yang disandang mereka.

Yang Dipertua Pas Tapah, Abdul Muhaimin Malek, 44, pula dipilih sebagai calon PN bagi menghadapi saingan yang setakat ini tiga penjuru termasuk calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

Sebelum ini, Mahfuz meminta Pas mempertimbang semula keputusan mereka untuk bertanding dalam PRK Ayer Kuning kerana peluang tipis untuk memenangi kerusi DUN itu.

Sementara itu, beliau berkata, PRK DUN Ayer Kuning merupakan medan terbaharu untuk mempamerkan kesepakatan yang utuh antara PH-BN selain kesinambungan kepada kejayaan gabungan itu dalam beberapa PRK sebelum ini.

“Kita berjaya mencapai garis di mana bukan saja peringkat pimpinan atasan berjaya mewujudkan perpaduan tetapi perkara itu sudah sampai ke peringkat akar umbi.

“PRK ini juga untuk memberitahu kepada PN yang mereka sudah tidak punya tempat kerana di Kelantan sendiri pun pengundi mereka tak beri dokongan apatah lagi di Ayer Kuning ini,” katanya.

Bagaimanapun, Mahfuz mengakui tetap ada cabaran kepada BN dalam PRK itu iaitu kempen pihak lawan yang mungkin terus dilingkari isu 3R terutama membabitkan agama dan kaum.

“Apa pun isu yang berlegar akan dinaratifkan oleh mereka sebagai Islam terancam dan orang Melayu tergugat tetapi saya percaya orang sudah mula muak kerana hakikatnya Islam di bawah Kerajaan Madani ini diperkasa dan orang Melayu sentiasa dimartabatkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN