Pandangan tangguh haji dan umrah demi politik bercelaru

Pandangan tangguh haji dan umrah demi politik bercelaru

MUJAHID YUSOF RAWA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Awang bahawa umat Islam perlu mengutamakan kemenangan politik dalam pilihan raya dengan wajar menangguhkan ibadah haji dan umrah adalah satu bentuk kecelaruan pandangan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, Abdul Hadi telah menyeret isu politik ke dalam wilayah akidah, walaupun kedua-duanya adalah perkara yang mempunyai premis hukum berbeza dalam Islam.

“Abdul Hadi menyifatkan kemenangan calon Pas sebagai kemenangan untuk Islam sedangkan pertarungan demokrasi ini adalah untuk memilih parti mana yang lebih mampu menawarkan khidmat kepada rakyat, bukan pertarungan antara Islam dan yang anti Islam.

“Kenyataan ini cenderung membawa ciri takfiri iaitu menganggap hanya partinya mewakili Islam manakala pihak lain seolah-olah bukan Islam, walhal kedua-dua calon adalah Muslim yang mewakili parti masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang memberi pandangan supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Presiden Pas itu mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.

Abdul Hadi mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Mujahid berkata, pihak berkuasa agama digesa mengambil tindakan tegas terhadap Abdul Hadi susulan kenyataannya yang didakwa menyeru umat Islam menangguhkan ibadah haji dan umrah bagi memberi keutamaan kepada kemenangan politik dalam pilihan raya.

Katanya, seruan sedemikian adalah tidak wajar kerana ibadah haji adalah tuntutan rukun Islam kelima dan bukan mudah untuk dilaksanakan memandangkan kekangan kuota serta giliran menunggu yang lama.

“Bayangkan Abdul Hadi meletakkan proses demokrasi mengundi lebih utama berbanding haji, iaitu ibadah khusus yang semakin sukar untuk mendapat kelulusan dan dipenuhi pelbagai syarat ketat.

“Komentar pentaksub akan mengiyakan segala kenyataan Presiden Pas ini, sekali gus membahayakan kesatuan umat yang terdorong kepada ketaksuban ketimbang ilmu dan kefahaman Siyasah Syar’iyah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya