Pakai lencana Jalur Gemilang tanamkan sikap patriotik

Pakai lencana Jalur Gemilang tanamkan sikap patriotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Alhamdulillah syukur setingginya kerana semenjak negara mencapai kemerdekaan, agenda memperkasakan pembangunan fizikal dan sosial terus-menerus dilaksanakan termasulklah terbaharu inisiatif pemakaian Jalur Gemilang

Berkat permuafakatan erat dan sikap saling memahami dan menghormati satu sama lain tanpa mengira asal keturunan, amalan budaya mahupun anutan agama, sinar gemilang negara kita sebagai sebuah negara merdeka yang berwibawa hebat dalam pembangunan ekonomi semakin menyerlah.

Meskipun, agenda membangunkan negara dalam aspek ekonomi dan sosial begitu penting dan seharusnya diberikan keutamaan, tetapi kita usah lupa bahawa tanpa nilai jati diri warga negara yang terterap rasa cinta kepada negara juga perlu dititik-beratkan.

Adakah kita boleh berbangga dengan kewujudan sebuah negara yang makmur kaya-raya sumber perolehan kekayaan untuk rakyatnya, tetapi sikap acuh tak acuh terhadap negara tidak terserlah dalam jiwa. Sudah banyak insiden yang timbul sejak kebelakangan yang memaparkan betapa semangat patriotisme terhadap negara begitu longgar dan semakin luntur.

Misalnya paling mudah, memasang bendera Jalur Gemilang dengan terbalik, tidak menghormati lagu kebangsaan dan pelbagai kerenah ‘nakal’ yang ditonjolkan yang sedikit sebanyak dapat kita tafsirkannya semakin kurang cakna segelintir rakyat khususnya generasi muda terhadap negara.

Jadi, usaha dan pendekatan yang diambil oleh Kementerian Pendidikan yang mengarahkan semua murid sekolah untuk memakai lencana Jalur Gemilang dilihat sebagai suatu langkah bijak demi menanamkan sikap patriotik yang tinggi kepada negara.

Nampak seakan langkah itu remeh dan kecil sahaja. Mungkin timbul pelbagai persepsi negatif dengan melontarkan aneka pandangan sinis dengan usaha murni, akan tetapi yakinlah bahawa usaha kecil yang murni pasti akan melahirkan impak besar yang positif.

Bak melentur buluh biar dari rebungnya. Begitulah seharusnya apabila mahu menerapkan sesuatu nilai mulia dan murni kepada generasi muda khususnya anak-anak kita di bangku sekolah.

Sesungguhnya, anak-anak kita dilahirkan dalam ruang pembangunan yang sudah tersedia segalanya dengan mudah dan menyelesakan dan situasi sebegini sekiranya nilai sejarah dan semangat patriotik terhadap negara kita yang tercinta dicicirkan dari agenda pendidikan, kita bimbang anak-anak kita membesar mendewasa dengan sikap sambil lewa tanpa cakna terhadap negara mereka sendiri. – UTUSAN

Mohd Rizal Azman Rifin Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN