JOHOR BAHRU: Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan Perdana Menteri dan seorang pemimpin penuh integriti.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan Perdana Menteri kelima itu sebagai pemimpin yang penuh keikhlasan dan mempunyai visi mendalam untuk kemajuan negara.
“Malaysia kehilangan seorang pemimpin dengan ciri-ciri murni tersebut dan sumbangan beliau akan terus diingati. Jasa Allahyarham Pak Lah akan terus dikenang dan dihargai. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tun Abdullah, 86, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur malam tadi akibat masalah pernafasan.
Sementara itu, Badan Perhubungan UMNO Johor dalam kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Pak Lah atas pemergian beliau ke rahmatullah.
“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara dan UMNO, khususnya atas sumbangan dan jasa beliau sebagai seorang negarawan yang sentiasa mengutamakan keharmonian, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Semoga roh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi ditempatkan dalam kalangan para solihin,” menurut kenyataan tersebut. – UTUSAN