P.Pinang: 819 calon SPM dapat semua A, 239 tak hadir kerana bekerja

P.Pinang: 819 calon SPM dapat semua A, 239 tak hadir kerana bekerja

WAN SAJIRI WAN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seramai 819 daripada 19,253 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pendidikan negeri, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 4.77 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya seramai 755 orang.

Katanya, peratus pencapaian layak mendapat sijil juga meningkat sebanyak 1.03 peratus iaitu daripada 92.64 pada tahun 2023 kepada 93.67 peratus pada tahun lepas.

“Secara keseluruhannya, seramai 16,090 daripada 17,417 calon layak menerima sijil peperiksaan itu (SPM) kali ini yang melibatkan 30 buah sekolah di negeri ini.

“Untuk pengetahuan, gred purata negeri (GPN) juga mengalami peningkatan iaitu sebanyak 1.11 peratus kepada 4.49 berbanding 4.39 pada tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengumumkan peperiksaan tersebut di sini, hari ini.

Dalam sidang akhbar yang sama, beliau turut mengumumkan tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al- Irshad di Kepala Batas, SMK Bukit Jambul dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor di George Town sebagai sekolah cemerlang dalam peperiksaan berkenaan di Pulau Pinang.

Sementara itu, Wan Sajiri memberitahu, seramai 239 daripada 17,417 calon SPM 2024 khususnya yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri ini dilaporkan tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut atas alasan sudah bekerja.

Beliau berkata, jumlah ketidakhadiran pelajar terbabit bagaimanapun didapati berkurangan berbanding jumlah yang direkodkan pada tahun sebelumnya iaitu seramai 338 calon.

“Selain memberi alasan (tidak mengambil SPM) kerana telah pun bekerja, mereka (calon yang tidak hadir) juga didapati kurang berminat untuk menduduki peperiksaan tersebut dan rekod ketidakhadiran mereka ke sekolah juga agak tinggi,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Sajiri berkata, pihaknya komited untuk terus menjalankan program intervensi bagi mengurangkan jumlah pelajar tidak hadir menduduki SPM pada tahun ini.

“Kita berusaha mengurangkan jumlah pelajar tidak hadir dan menarik mereka kembali ke sekolah,” katanya yang memaklumkan, program tersebut melibatkan semua pejabat daerah di Pulau Pinang selain pembabitan daripada komuniti setempat.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya