NIBONG TEBAL : Seramai 13,869 ahli PKR Pulau Pinang hari ini menjalankan tanggungjawab untuk mengundi bagi memilih jawatankuasa baharu di 12 daripada 13 cabang parti di sini.
Daripada jumlah itu, seramai 13,542 ahli mengundi secara dalam talian manakala selebihnya iaitu seramai 327 ahli pula mengundi secara fizikal.
Pengundian secara fizikal yang melibatkan Cabang PKR Bukit Mertajam, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan dan Permatang Pauh itu dijalankan di sebuah hotel di Perai, Butterworth manakala pemilihan bagi Cabang PKR Nibong Tebal pula dibuat di Dewan Chong Kuang, Sungai Bakap, di sini.
Satu lagi lokasi yang melibatkan pemilihan secara fizikal ialah di sebuah hotel di Bayan Lepas yang melibatkan Cabang PKR Tanjong, Bukit Bendera, Jelutong, Bukit Gelugor, Bayan Baru dan Balik Pulau.
Cabang PKR Batu Kawan pula menjadi satu-satunya kawasan cabang yang tiada pertandingan apabila penyandangnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik serta pasukannya menang tanpa bertanding.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di pusat pengundian di Sungai Bakap mendapati, proses pengundian berjalan lancar walaupun ada dilaporkan berlaku sedikit kekecohan akibat salah faham.
Ketua Tempat Mengundi (KTM) Cabang Nibong Tebal, Solihen Marjuki berkata, kekecohan itu timbul apabila ada calon yang menghantar wakilnya ke pusat pengundia.n dan ingin memasuki ke saluran tempat mengundi yang tidak dibenarkan.
“Kekecohan itu bagaimanapun berjaya ditangani dengan baik oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang berada di lokasi,” katanya yang memberitahu, pusat pengundian di Sungai Bakap itu melibatkan jumlah pengundi fizikal tertinggi di Pulau Pinang iaitu seramai 204 orang.
Difahamkan, sehingga tengah tadi, lebih separuh daripada pengundi khususnya yang menjalankan pengundian secara fizikal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing dan jumlah tersebut dijangka meningkat beberapa jam sebelum pusat pengundian ditutup kira-kira pukul 5 petang ini.
Ketika ini, Cabang PKR Nibong Tebal dilihat paling menjadi tumpuan kerana ia melibatkan pertandingan tiga penjuru untuk jawatan Ketua Cabang.
Ahli Parlimen Nibong Tebal yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ditentang oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Nibong Tebal, Muttaqeen Mustafa serta seorang lagi ahli parti tersebut iaitu Muhammad Navalan Abdullah.
Satu lagi pertandingan peringkat cabang yang menarik ialah di Tasek Gelugor apabila Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang merangkap Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dicabar oleh Timbalan Setiausaha Agung PKR, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal dalam pertembungan ‘satu lawan satu’.-UTUSAN