ALOR SETAR: Kejayaan menstabilkan harga barangan keperluan asas seperti telur ayam menjadi salah satu asas untuk kerajaan pada hari ini dikekalkan termasuk di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad bahawa orang ramai sering bertanyakan bila hendak ditukar kerajaan hari ini merupakan sindiran yang tidak difahaminya.
“Dia kata ramai dia jumpa di kedai minyak tanya bila nak tukar kerajaan, dia tak sedar itu perli kerana mereka sendiri sering menjaja nak tukar kerajaan, jadi orang tanya itu sebenarnya perli.
“Sedangkan dia tahu bahawa tak ada orang yang waras, malah orang yang tidak waras atau orang gila pun tak akan tukar kerajaan ini yang boleh jual telur ayam murah. Mengapa tiba-tiba nak tukar kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Aidilfitri beliau di sini, hari ini.
Mengulas tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, Mahfuz berkata, tidak akan ada undi protes daripada ahli Amanah atau penyokong Pakatan Harapan (PH) terhadap calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Yusri Baki, 54.
Katanya, mereka sudah sebulat suara menerima keputusan untuk mengekalkan parti yang telah membentuk kerajaan bukan sahaja di negeri Perak tetapi di peringkat Persekutuan.
“Saya tak nampak isu ketidakpuasan hati dalam PRK ini dan saya tidak begitu bimbang kalau berlaku pengurangan undi kerana ia hanya disebabkan pengundi luar tidak balik mengundi.
“Malah, isu berkaitan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) pun tidak akan menjejaskan kerajaan kerana ramai memahami bahawa perkara itu akan memberi kebaikan kepada seluruh negara,” katanya.
Mahfuz menegaskan, tidak ada unsur pengusiran orang Melayu seperti didakwa sebaliknya dibina semula untuk menempatkan mereka dalam keadaan lebih selesa di masa hadapan.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menafikan memperlekeh golongan pesawah berkaitan bantuan wang ihsan RM15 juta sempena Aidilfitri untuk 200,000 pesawah dalam satu sesi podcast baru-baru ini.
“Pesawah yang saya sendiri jumpa beritahu mereka faham mengapa lambat sedikit diagihkan kerana ia melibatkan soal prosedur yang perlu dipatuhi pelbagai pihak sebelum wang itu dapat diberikan kepada pesawah.
“Itu hanya sentimen politik sahaja yang ditimbulkan (ADUN) Kota Siputeh untuk mencari salah orang lain sedangkan tak timbul pun isu tersebut dalam kalangan petani,” ujarnya. – UTUSAN