SUBANG JAYA: Sebanyak 116.22 tan sampah berjaya dikutip dalam hari pertama pelaksanaan Ops Mega Pembersihan Putra Heights semalam, susulan insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku pada 1 April lalu.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam kenyataan memaklumkan, tahap kemajuan kerja pembersihan berada pada 80 peratus membabitkan 12 zon utama dan kawasan dikendalikan KDEB Waste Management (KDEBWM).
“Antara kawasan paling tinggi jumlah sisa dikutip adalah Zon 10 dengan 24 tan, diikuti kawasan KDEBWM (27 tan), Zon 3 dan Zon 4 (masing-masing 12 tan).
“Di Zon 9 (lapan tan sisa kutipan), Zon 11 dan 12 (tujuh tan), Zon 1, 2, 5, dan 7 (masing-masing dengan enam tan) manakala Zon 8 dengan 2.2 tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu juga, skop kerja yang dijalankan termasuk mengangkat sampah dibuang penduduk, mencuci lorong belakang, mencuci longkang dan jalan.
Selain itu, kerja-kerja berkenan turut melibatkan pembersihan serpihan binaan, memotong pokok mati, mencuci ruang parkir kenderaan (yang dibenarkan) serta kawasan taman permainan. – UTUSAN