MELAKA: Sebanyak 346 kes kemalangan direkodkan di negeri ini sepanjang pelaksanaan Op Selamat 24 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermula 29 Mac hingga 3 April lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, berlaku penurunan sebanyak 58 kes berbanding 404 kes kemalangan yang dicatatkan pada Op Selamat 22, tahun lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak tiga kes melibatkan kematian manakala lima kes menyebabkan kecederaan parah.
“Jumlah saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas meningkat 12 peratus kepada 2,784 saman berbanding 2,478 saman pada tahun sebelumnya,” katanya.
Tambah Dzulkhairi, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Melaka telah merekodkan sejumlah 428 pemakluman laporan balik kampung daripada orang ramai. – UTUSAN