JERANTUT: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) memohon bantuan meringankan beban kewangan untuk perbelanjaan keperluan diri dan bapanya yang sakit tua di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini.
Ahmad Ishak, 58, berkata, dia tidak mampu menyediakan RM2,500 sebulan untuk membiayai barang keperluan dapur, ubat dan bayaran bil, malah bebanan semakin bertambah sejak bapanya, Ishak Ibrahim, 81, terlantar sakit tua, setahun lalu.
“Sejak kaki kanan dipotong paras lutut akibat kencing manis pada 2017, saya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan wang itulah digunakan untuk belanja barang keperluan dapur, ubat dan berulang-alik ke hospital.
“Wang bantuan itu digunakan kerana saya tidak mampu bekerja di ladang sawit kerana menggunakan tongkat dan pernah dua kali terbabas motosikal ketika ke kebun sawit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Ahmad, wang bantuan RM300 dibelanjakan untuk menyediakan keperluan bapanya yang terlantar sejak setahun lalu, iaitu untuk tempoh sebulan memerlukan empat tin susu khas bernilai RM320, 15 pek lampin pakai buang bernilai RM180 dan 30 helai kain lapik tempat tidur bagi mengelak kekotoran najis hampir RM100.
“Bapa saya hanya terlantar di tempat tidur kerana tiada siapa yang mampu mengangkatnya ke bilik air untuk mandi dan membuang kotoran.
“Belanja ini tidak termasuk berulang-alik ke hospital, tetapi mujurlah ada rakan yang membantu menghantar menggunakan kenderaannya dan kini saya dan isteri perlu berjimat barang keperluan dapur. Hanya makan apa yang ada selain bil elektrik dan air kerap tertunggak,” katanya.
Ahmad berkata, seharian dia hanya menjaga bapanya yang semakin lemah di tempat tidur atas lantai beralaskan tilam sehingga dia sendiri berdepan tekanan menyebabkan keadaan penyakit kencing manis yang dihadapinya sejak 15 tahun lalu semakin membimbangkan.
“Saya benar-benar susah dan terbeban masalah kewangan berharap ada dermawan dan pihak berwajib dapat membantu kehidupan kami,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Ambank 8881056579773 atas nama Ahmad Ishak. – UTUSAN