MELAKA: Seorang wanita menjadi mangsa serangan seksual apabila dicabul seorang lelaki ketika sedang berjoging di Taman Bandaraya Bukit Serindit di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa didatangi suspek dari arah belakang sebelum dipeluk, mulutnya ditekup dan dicabul. Bagaimanapun cubaan menarik mangsa ke kawasan semak gagal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, mangsa berjaya diselamatkan selepas kejadian itu disedari orang awam yang berada di lokasi.
“Mangsa dipeluk dari belakang, mulutnya ditekup dan dicabul sebelum suspek cuba menariknya ke arah semak berhampiran.
“Nasib baik ada individu lain yang melalui kawasan itu dan membantu mangsa, sekali gus menyelamatkannya daripada terus menjadi mangsa,” katanya.
Tambah Mohd. Noor Helmy, beliau telah menghubungi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berhubung kejadian itu.
“Pihak MBMB akan menambah rondaan anggota penguat kuasa di kawasan tersebut. Saya juga ingin mengingatkan orang ramai, terutamanya wanita agar lebih berhati-hati, terutama apabila berjoging seorang diri pada waktu malam,” katanya.
Kes tersebut turut tular dalam media sosial dan mencetuskan kebimbangan awam yang menggesa pihak berkuasa meningkatkan aspek keselamatan di kawasan rekreasi awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, hari ini. – UTUSAN