Sejak menceburi industri hiburan pada tahun 2007, Alvin Chong dilihat berusaha keras mencipta nama sebagai seorang pelakon, penyanyi dan model sekali gus menjadikan dirinya sebagai selebriti serba boleh.
Pernah menghasilkan beberapa lagu hits, Alvin mengakui penglibatannya dalam industri muzik sekadar hobi memandangkan dunia lakonan masih menjadi karier utamanya.
Antara lagunya yang berjaya menangkap perhatian pendengar bahkan menjadi penghias drama bersiri yang dibintanginya seperti Mencintaimu, Aku Kamu, One & Only, Sayangku Salmah dan banyak lagi.
Kata Alvin, kebanyakan lagu yang dihasilkan sebelum ini ciptaannya sendiri berdasarkan kisah peribadinya serta luahan hati orang di sekelilingnya.
“Ada juga lagu yang saya cipta daripada luahan orang sekeliling. Saya buat seperti diari,” katanya kepada Pancaindera.
Ditanya apa yang membuatkan dirinya berani untuk cuba menceburi bidang nyanyian, pelakon yang berusia 34 tahun itu berkata, dia mahu orang ramai mengenalinya melalui kebolehan yang dimiliki.
“Sebagai pelakon, kebiasaannya orang suka kita sebab watak kita bukan diri kita yang sebenar. Kalau kita berjaya melakonkan watak yang mereka suka, kita akan diterima.
“Tetapi, jika sebaliknya, orang akan benci. Jadi, saya mahu orang kenal saya melalui lagu dan media sosial saya,” jelasnya.
Meskipun sudah beberapa kali cuba menembusi industri muzik tanah air, Alvin mengakui perkara itu tidak mudah buat dirinya.
Kata Alvin, jarang sekali penyanyi berbangsa Cina yang berkebolehan untuk menyanyikan lagu berbahasa Melayu dengan fasih meraih populariti dengan mudah.
“Saya sudah banyak kali buat lagu tetapi orang tidak dengar. Saya rasa susah juga walaupun tidak pernah ada penyanyi berbangsa Cina yang boleh menyanyikan lagu Melayu jadi lebih terkenal.
“Saya juga pernah meminta komposer terkenal hasilkan lagu untuk saya. Tetapi perkara itu tidak menjadi juga. Radio pun tidak mainkan lagu saya,” katanya.
Tambah Alvin, dia juga tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menghasilkan lagu baharu malah, memilih untuk berehat seketika.
“Tahun ini saya tiada perancangan untuk keluarkan sebarang lagu kerana kurang mendapat sambutan. Saya mahu berehat sekejap dari bidang nyanyian,” katanya.
Selain kerjaya lakonan dan nyanyian, Alvin turut dilihat aktif menjadi wajah kepada jenama-jenama terkenal di peringkat antarabangsa.
“Sekarang saya banyak membuat kerja untuk klien kerana itu lebih lumayan. Tetapi untuk kekalkan nama, lakonan masih kerjaya utama saya,” ujarnya.