PERMATANG PAUH: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berharap pemilihan parti dapat berlangsung dalam suasana yang teratur dan harmoni sekaligus menyediakan PKR dengan sistem yang lebih kalis cabaran masa depan.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan sistem pemilihan berjalan lancar dan teratur, dengan semua anggota parti merasakan mereka didengari dan diraikan melalui proses demokrasi dalaman.
“Sudah tentu kita mahu sistem yang tersusun dan lebih efisien. Kita bertanding pun dalam kelompok keluarga besar Keadilan (PKR).
“Apa yang penting ialah, keutuhan antara anggota perlu sentiasa terjaga dan terpelihara dan kita mahu sediakan parti agar kalis cabaran pasa masa depan,” katanya selepas menghadiri Permatang Pauh, Majlis Rewang Ketupat Aidilfitri bersama penduduk setempat di Yayasan Aman di sini, hari ini.
Nurul Izzah berkata, beliau memberi sepenuh keyakinan terhadap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan profesional dan telus, termasuk menyediakan saluran maklumat terkini kepada anggota akar umbi.
“Saya fikir Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa telah memberikan ruang kepada JPP untuk mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa. Kita semua menantikan kemas kini terkini dari negeri ke negeri,” katanya.
Menurutnya, proses pemilihan parti itu juga tidak harus mengganggu tugas hakiki pemimpin dan anggota parti yang masih perlu kekal berdampingan dengan rakyat serta memainkan peranan di peringkat komuniti.
“Justeru, saya mohon kepada semua anggota agar melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi, sama ada secara fizikal mahupun secara dalam talian. Kita harap semua yang layak ambil peluang ini,” katanya.
Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang memaklumkan, pemilihan di Pulau Pinang dijadualkan berlangsung pada 19 April, kecuali sekiranya terdapat perubahan daripada pihak JPP.
Tambah beliau, anggota parti dinasihatkan agar menghormati keputusan yang bakal diumumkan dan kekal utuh dalam memperkukuhkan kekuatan parti bersama-sama.
“Yang menang, yang belum menang, atau yang tidak dipilih sebagai perwakilan tetap bersama dalam wadah perjuangan. Kita bukan sahaja mahu membina parti, tapi juga membantu menyelesaikan isu-isu masyarakat,” katanya. – UTUSAN