SHAH ALAM: Berhadapan dengan konflik rumah tangga, penyanyi, Datuk Nora Ariffin,52, mengakui reda kehilangan kali kedua sekiranya perceraian dengan suami, Dr Rushdi Ramli berlaku.
Sehubungan itu, Nora berkata, dia menyerahkan segala keputusan kepada takdir mengenai isu rumah tangganya ini.
“Terus-terang, tiada siapa yang berkahwin mahu bercerai. Saya pernah melalui episod kehilangan (merujuk kepada kematian suami terdahulu), dan kini diuji lagi.
“Tetapi saya percaya Allah susun kehidupan saya dengan sebaik-baiknya.
“Saya buat apa yang terbaik dan berdasarkan fakta serta bukti. Kami tidak bercakap sesuka hati,”katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Sementara itu, ditanya mengenai anak-anak, Nora berkata dia bersyukur mendapat sokongan mereka.
“Mereka tidak campur tangan kerana menganggap ini urusan antara ibu dan bapa.
“Kecuali jika mereka terlibat secara langsung, mereka tidak mahu masuk campur,”katanya.
Terdahulu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya kira-kira pukul 9.26 pagi tadi bagi memfailkan permohonan perceraian terhadap suaminya, Dr. Rushdi Ramli.
Sebelum ini, penyanyi lagu Naluri itu mengejutkan ramai apabila memuat naik foto hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat dipercayai ingin memfailkan perceraian terhadap Dr. Rushdi selepas didakwa didesak pihak ketiga.
Sementara itu, Dr. Rushdi pula tampil bersuara memihak Nora dan mengakui menerima tekanan daripada pihak lain agar berpisah dengan Nora.
Baru-baru ini, Nora sekali lagi meluahkan hasrat untuk memfailkan perceraian selepas gagal menemui titik penyelesaian.
Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya. -UTUSAN