Noghori Arts School lahir bakat seni muda antarabangsa

Noghori Arts School lahir bakat seni muda antarabangsa

PELAJAR Noghori Arts School bergambar bersama Penaung Program Seni dan Kebudayaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz (belakang sekali, baju batik) berlatar belakangkan hasil karya seni mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Noghori Arts School @ Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Najihah, Seremban komited untuk melahirkan bakat seni muda di peringkat antarabangsa selari dengan pencapaian cemerlang dalam akademik.

Pengetuanya, Nor Hayati Abdul Rahman (gambar) berkata, walaupun baharu setahun ditubuhkan, Noghori Arts School berjaya melakar sejarah dengan merangkul johan keseluruhan kategori Music Band dan tempat pertama kategori nyanyian duo dalam pertandingan The 43rd International Folklore and Music Competition di Prague, Republic Czech Disember tahun lalu.

 

“Alhamdulillah, kejayaan anak-anak Negeri Sembilan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan menjadi bukti kepada kejayaan program kesenian di sekolah ini.

“Besarlah harapan saya agar Noghori Arts School melahirkan pelajar yang seimbang dari segi pencapaian kokurikulum (kesenian), akademik serta sahsiah,” katanya ketika ditemui di Noghori Arts School baru-baru ini.

Nor Hayati menjadikan Sekolah Seni Malaysia Johor yang berjaya menduduki tempat keenam sekolah terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sebagai aspirasi untuk mencapai kejayaan lebih baik pada masa hadapan.

“Permintaan untuk masuk ke Noghori Arts School ini amat tinggi dan bagi kemasukan baharu 2025 keseluruhan seramai 100 pelajar dengan empat bidang utama kesenian iaitu muzik, tarian, teater dan seni visual.

“Pelajar akan disaring menerusi sesi temuduga dan bakat mereka akan digilap oleh guru-guru menerusi aktiviti kesenian pada sebelah petang memandangkan sesi pembelajaran seperti biasa pada waktu pagi,” katanya.

Sementara itu, guru muzik Noghori Arts School, Muhamad Hazrin Ishak melahirkan kesyukuran apabila anak didiknya berjaya menempa kejayaan sekali gus mengharumkan nama sekolah dan Negeri Sembilan.

“Ini kali pertama mereka menyertai pertandingan peringkat antarabangsa dan membawa nama Malaysia, kami teruja apabila membuat persembahan di peringkat dunia,” katanya.

 

 

 

 

Muhammad Hazrin berkata, kumpulan band dikenali The Jang’s terdiri daripada lapan pelajar mempersembahkan lagu Medley Gema Tradisi berjaya menewaskan 40 pasukan dari seluruh dunia sekali gus merangkul johan keseluruhan dalam pertandingan peringkat antarabangsa di Prague, Repulic Czech.

“Aeron Jeszel Iskandar Mohd. Azhar dan Rayyen Fitri Syafiyudin pula menerusi lagu Mentera Semerah Padi berjaya menjadi juara kategori Nyanyian Duo Junior 1 dengan vokal yang harmoni,” katanya lagi.

Menurut Muhamad Hazrin, bakat anak muda ini mula menyerlah di persada dunia apabila pada bulan September ini pelajar bidang muzik dijemput pula membuat persembahan sempena World Expo 2025 di Osaka, Japan bertemakan muzik kesenian Negeri Sembilan.

Selain itu, Noghori Arts School turut memenangi anugerah emas dan perak bagi pertandingan arca di peringkat antarabangsa pada AICAD (Invention and Innovation Design) 2027 anjuran Akademi Seni Halus Hebei Shinjazhuang, China dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya