GOMBAK: Anggota ASEAN bersepakat menolak tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini.
Memberitahu perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam perjumpaan pemimpin-pemimpin ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut beliau, negara-negara ASEAN akan membuat perbincangan lanjut bagi mencari pendekatan untuk mengatasi tarif berkenaan secara bersama.
“Kita ada dua sesi minggu lalu, pertama dengan Menteri Perdagangan Pelaburan yang membincangkan masalah kita menghadapi tarif (AS). Alhamdulillah, kita tidak bersetuju dengan tarif yang dikenakan, sekarang reda sekejap.
“Tetapi kita amik pendekatan bersama minta supaya saya hubungi semua ketua-ketua ASEAN untuk ada pendekatan bersama Kemudian semalam bersama semua menteri-menteri kewangan ASEAN hadir dan memberi pandangan yang sama dan ini satu kemajuan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Asy-Syakirin, di sini yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari.
Terdahulu, AS dilaporkan akan mengenakan tarif 24 peratus ke atas Malaysia apabila Trump mengumumkan langkah-langkah baru yang meluas sebagai sebahagian daripada tindakan ‘Hari Pembebasan’ beliau.
Bagaimanapun, AS membuat pusingan U selepas meluluskan penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari kerana menerima permintaan daripada negara terbabit yang ingin menjalankan rundingan.
Penangguhan tersebut melibatkan lebih 75 negara iaitu termasuk Malaysia yang akan terlibat dalam sesi rundingan semula membabitkan isu berkaitan perdagangan, halangan perdagangan, tarif, manipulasi mata wang dan bentuk tarif bukan monetari.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan bahawa Malaysia akan mengadakan sambutan untuk menyambut kedatangan Presiden China, Xi Jinping yang bermula 15 hingga 17 April ini.
“Kita akan sambut Presiden China dan saya harap sambutannya meriah,” ujarnya. – UTUSAN