Seramai 24 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, asnaf baru-baru ini menerima bantuan hasil sumbangan pensyarah universiti dalam satu program khidmat masyarakat yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Jeli Kelantan.
Program tersebut dianjurkan oleh enam orang pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) daripada Fakulti Asas Tani dengan matlamat membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan.
Sumbangan berupa pakaian sekolah dan harian diberikan kepada murid-murid yang terpilih berdasarkan latar belakang keluarga yang memerlukan.
Menurut ketua program, Prof. Dr. Nik Marzuki Sidik, inisiatif tersebut bertujuan untuk memberi motivasi kepada murid agar lebih bersemangat dalam pelajaran dan merasa dihargai oleh
masyarakat.
“Kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringanklan beban murid dalam menghadapi sesi persekolahan dengan lebih selesa. Ini juga adalah satu usaha kami untuk memberi kembali kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, Laila Ismail, turut menyampaikan penghargaan kepada pihak universiti yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Unit Hal Ehwal Murid (HEM) yang merancang program tersebut hingga berjalan dengan lancar turut dihargai.
“Kami amat bersyukur dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh para pensyarah,” katanya.
Penyelaras Kebajikan Murid Nor Idayu Ismail,melahirkan rasa kesyukuran kerana bantuan itu ada di saat sekolah kekurangan dana. – UTUSAN