PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan bahawa beliau bertanggungjawab dalam keputusan pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, yang menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk terlibat.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa proses tersebut dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, dan bukannya keputusan yang dibuat secara langsung oleh Perdana Menteri ketika itu.
“Saya telah ditohmah kononnya bertanggungjawab mengarahkan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru. Hakikatnya, ia adalah urusan pentadbiran tanah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa Wilayah Persekutuan, mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhyiddin, sebarang dakwaan berhubung tindakan luar batas atau penyelewengan dalam proses pengambilan itu boleh dicabar melalui saluran mahkamah.
“Jika pengambilan tersebut tidak dilakukan mengikut lunas undang-undang, maka mahkamah mempunyai kuasa menentukan hak-hak pihak yang terkesan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres mencetuskan kontroversi selepas sekumpulan penduduk mendakwa pampasan yang diterima adalah tidak setimpal dengan nilai sebenar hartanah mereka.
Isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas laporan media memetik beberapa penduduk mendakwa mereka ‘dipaksa’ keluar demi memberi laluan kepada projek pembangunan swasta.
Bagaimanapun, Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, menjelaskan di Parlimen bahawa kerjasama antara pemilik dan pemaju dibuat secara sukarela hasil rundingan yang dipersetujui bersama tanpa unsur paksaan, tekanan atau desakan daripada mana-mana pihak. – UTUSAN