PETALING JAYA: Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) memeterai kerjasama tiga hala pentingan dengan ASEAN-Pusat Jepun (AJC) dan Institut Promosi Reka Bentuk Jepun (JDP) bagi memacu industri kreatif serantau.
Perjanjian kerjasama bagi mempaksa kecemerlangan reka bentuk di Malaysia, Jepun dan ASEAN itu dilakukan melalui surat Hasrat (LOI) di Dewan ASEAN, Tokyo.
Setiausaha Agung AJC, Dr. Kunihiko Chris Hirabayashi berkata, reka bentuk bukan sekadar fungsi tetapi ia melibatkan jiwa yang menghubungkan manusia, budaya dan nilai bersama.
“Hubungan erat antara rakan lama, bersatu dalam usaha membina pertumbuhan dan inovasi bersama,” katanya menerusi kenyataan media.
Pengarah MRM, Amirul Fadhli Che Ismail berkata, langkah itu penting dalam meningkatkan penyertaan negara dalam inisiatif reka bentuk serantau dan memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti reka bentuk Rantau ini serta Jepun.
“Kerjasama ini menyediakan kerangka kukuh untuk usaha bersama dalam pendidikan reka bentuk, inovasi dan penganjuran pameran, menyemarakkan pertukaran kreatif dan peluang ekonomi,” katanya.
Amirul Fadhli berkata, MRM terus menerajui pembangunan reka bentuk di peringkat nasional dan antarabangsa melalui pelaksanaan program yang berimpak tinggi dan kerjasama strategik.
“Antara inisiatif utamanya ialah platform ASEAN Design Sharing yang diperkenalkan pada tahun 2003, menghimpunkan ahli-ahli reka bentuk dari seluruh Asia Tenggara untuk meneroka peluang kreatif dan memperluas rangkaian perniagaan berasaskan reka bentu.
“Menerusi kerjasama dengan negara seperti Indonesia, Korea, Vietnam, Thailand, Filipina dan Singapura, MRM memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan serantau dan menyerlahkan keupayaan reka bentuk Malaysia di persada antarabangsa,” jelasnya.
Tambahnya, formalisasi dan pengukuhan hubungan rasmi antara negara-negara anggota ASEAN adalah amat penting bagi meneruskan momentum ini dan meletakkan Malaysia sebagai Hab Reka bentuk ASEAN.
“Kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja menyatukan usaha serantau tetapi turut memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam inovasi reka bentuk. Dengan memperdalam perkongsian institusi dan memacu inisiatif rentas sempadan.
“Malaysia, menerusi MRM, berpotensi menjadi platform utama bagi kecemerlangan reka bentuk di rantau ini. Visi ini sejajar dengan hasrat untuk menubuhkan Pusat Rekabentuk Negara sebagai pemangkin perpaduan yang memacu pertumbuhan inklusif, pertukaran ilmu dan pembangunan mampan dalam ekonomi kreatif ASEAN,” katanya. – UTUSAN