PUTRAJAYA: Model pendidikan tinggi Malaysia dan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi rujukan beberapa negara luar untuk diaplikasi dalam negara mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, hasrat itu disuarakan ketika perbincangan beliau bersama beberapa Menteri Pendidikan antaranya dari Nigeria, Dr. Maruf Tunji Alausa; Menteri-Menteri Negara bagi Pendidikan Tinggi, Buruh dan Pembangunan Kemahiran Maldives, Ahmed Shafeeu dan Menteri Pendidikan dan Latihan Vokasional Zanzibar, Lela Muhamed Mussa.
Perbincangan itu berlangsung ketika beliau menghadiri edisi kedua Persidangan Antarabangsa Inisiatif Keupayaan Insan (HCI 2025) yang berlangsung pada 13 dan 14 April 2025 di Riyadh, Arab Saudi.
“Masing-masing kagum dengan pembangunan pendidikan tinggi Malaysia yang bergerak selari dengan pembangunan arus semasa dan perancangan yang baik dari segi pelaksanaan dasar pendidikan,” katanya dalam kenyataan.
Zambry turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr. Yousef bin Abdullah Al-Benyan bagi membincangkan kolaborasi antara Malaysia dan Arab Saudi terutamanya dalam program perkongsian tenaga mahir dan teknologi terkini dalam bidang pendidikan tinggi.
Katanya, kolobrasi itu turut melibatkan model pengurusan universiti yang sedang dibangunkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Beliau turut berkongsi tentang 10 ‘shifts’ dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 yang turut melibatkan beberapa perkara tentang Kecerdasan buatan (AI).
Perkongsian itu disampaikan ketika diundang menjadi panelis dalam forum bertajuk ‘Human Capabilities as an Economic Catalyst – Unlocking Potential for Prosperity’, yang menjadi pentas perbincangan global mengenai potensi modal insan sebagai pemacu utama kemakmuran ekonomi.
“Kita juga memperkenalkan konsep ‘unbundling’ iaitu pemecahan struktur program akademik kepada komponen kecil seperti ‘micro credentials’, kursus individu, modul pembelajaran, latihan industri, dan projek.
“Ini sesuatu yang mungkin baharu dan boleh diperkongsikan dengan negara-negara lain agar pelajar diberi lebih fleksibel dan pilihan terbuka dengan kursus yang mereka ambil,” katanya.
Selain menyertai perbincangan ilmiah, Zambry turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Korea Selatan, Dr. Lee Ju-ho dan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama di peringkat pegawai di kedua-dua kementerian untuk menggerakkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini.
Katanya, persetujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi juga turut dicapai termasuk pelaksanaan program mobiliti pelajar dan pensyarah.
Ini termasuk penglibatan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Politeknik serta Kolej Komuniti dalam kolaborasi teknikal, dan penglibatan syarikat multinasional Korea dalam pelaksanaan program ‘Work-based Learning’ (WBL) di Malaysia.
Dengan penyertaan lebih 300 jurucakap dari lebih 100 negara serta kehadiran lebih 12,000 peserta, HCI 2025 menjadi medan penting untuk Malaysia terus memperkukuh jaringan antarabangsa serta memperlihatkan usaha serius negara dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang mampan, inovatif dan berdaya saing global. – UTUSAN