KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) menegaskan bahawa pihaknya masih meneruskan operasi Menara Kuala Lumpur selagi belum ada arahan rasmi daripada mahkamah untuk pengosongan atau penyerahan kepada mana-mana pihak.
Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh berkata, isu pemilikan dan pengurusan menara ikonik itu kini berada dalam proses perundangan dan sebarang tindakan hanya akan diambil selepas keputusan mahkamah pada 9 Jun ini.
“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang arahan daripada mahkamah untuk keluar atau menyerahkan operasi menara kepada mana-mana pihak ketiga. Jadi MKLSB akan terus menguruskan Menara KL seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau turut mengulas mengenai laporan polis yang dikemukakan oleh Lembaga Syarikat Harta Strategik Malaysia (LSHSM) terhadap HydroShoppe Sdn. Bhd. (HSB), syarikat yang berkait rapat dengan MKLSB berkaitan dakwaan pertikaian pengoperasian menara tersebut.
“Kes ini di bawah bidang kuasa mahkamah, maka semua pihak termasuk pihak berkuasa perlu menunggu keputusan rasmi. Kami yakin segala dakwaan akan dijelaskan dalam proses mahkamah dengan lebih adil,” ujarnya.
Abdul Hamid Shaikh memberitahu, MKLSB akan terus memberi fokus kepada tanggungjawab mereka termasuk penganjuran acara sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 13 April ini yang turut melibatkan pembukaan kapsul masa di menara berkenaan. – UTUSAN