Misi tawan Everest: Mohd Fakhrul berlepas ke Nepal malam ini

Misi tawan Everest: Mohd Fakhrul berlepas ke Nepal malam ini

MOHD Fakhrul Munir Mohd Isa memeluk ibunya sebelum berlepas ke Nepal untuk misi Pendakian Amal Bomba de Everest "Mencari Hati Emas" di Balai Pelepasan KLIA 1. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berlepas ke Nepal hari ini bagi misi pendakian ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest ‘Mencari Hati Emas’ 2025.

Anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu akan menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) pada pukul 8 malam ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Menurut Mohd Fakhrul Munir, 43, keadaan fizikal dan mental beliau kini berada pada tahap optimum setelah menjalani sesi latihan intensif selama tiga tahun di luar negara termasuk pendakian di Gunung Kinabalu.

“Saya dijangka berada di Nepal selama dua bulan sebelum memulakan pendakian ke Gunung Everest dan akan menunggu cuaca terbaik serta kebenaran daripada sherpa sebelum meneruskan pendakian ke puncak.

“Semua persiapan juga berjalan lancar dan latihan di Gunung Kinabalu serta pengalaman mendaki di luar negara banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan pendakian altitud tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Projek Pendakian Amal Bomba de Everest ‘Mecari Hati Emas’ 2025 di sini hari ini.

Mohd Fakhrul berkata, projek pendakian itu bukan sekadar satu pencapaian peribadi tetapi bertujuan mengumpul dana bagi membantu anggota bomba yang tercedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas serta mereka yang masih dalam perkhidmatan.

Katanya lagi, pendakian amal itu juga bertujuan bagi mengumpul dana pembedahan dan rawatan transplantasi selain memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menjadi penderma buah pinggang.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pendakian amal yang dilakukan oleh Mohd Fakhrul adalah secara sukarela dengan mengambil cuti tanpa gaji bagi membolehkannya membuat persiapan rapi sebelum ke Gunung Everest.

“Apabila beliau ambil cuti tanpa gaji ini, kita tahu pendapatannya hilang tetapi pengorbanan yang dilakukan itu adalah untuk mencapai impian yang lebih besar dengan membawa nama jabatan dan juga penekanan bahawa ini adalah pendakian amal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya