MELAKA: Pengadil tempatan perlu diberi peluang menimba pengalaman dan pendedahan di peringkat antarabangsa untuk membolehkan mereka dipilih mengendalikan perlawanan atau kejohanan sukan di peringkat dunia.
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang baharu, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, ia menjadi misi utamanya untuk membawa pembaharuan bagi memperkasakan kualiti mutu pengadil tempatan.
Menurutnya, misi tersebut perlu mendapat sokongan dan bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam usaha untuk meningkatkan aspek teknikal serta dapat mengetengahkan pengadil bagi mengadili kejohanan bertaraf antarabangsa.
“Ini adalah visi dan misi saya, mahu memastikan pengadil kita kali ini mendapat tempat ini di peringkat antarabangsa dan dunia serta memberikan kelebihan kepada kita terutama dalam sukan yang tidak melibatkan sistem komputer.
“Saya menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden MOM ini kerana minat untuk membantu persatuan sukan yang ada di negara ini kerana saya boleh menjadi perantara dengan Kementerian Belia dan Sukan serta MSN,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Nur Azmi dilantik sebagai Timbalan Presiden MOM yang baharu bagi mengisi kekosongan jawatan susulan penyandang iaitu bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd. Amin tidak mempertahankan jawatan.
Beliau yang juga Presiden Makaf menang besar dengan mengetepikan cabaran Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz apabila meraih 70 undi berbanding lawan dengan 20 undi.
Nur Azmi berkata, satu bengkel akan dianjurkan oleh MSN bagi mengenal pasti pengadil daripada sukan yang boleh diketengahkan.
“Saya yakin MSN dapat membantu pengadil dari Malaysia ini boleh dibawa ke peringkat antarabangsa dan dunia atau dalam usaha kita untuk meraih kejayaan lebih besar,” ujarnya. – UTUSAN