PETALING JAYA: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) menggesa agar siasatan menyeluruh dan terperinci dijalankan dengan segera susulan insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Selasa lalu.
Presidennya, Aziz Basiran berkata, penubuhan pasukan khas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang melibatkan pakar keselamatan, wakil industri serta agensi penguatkuasa adalah amat wajar bagi menjamin ketelusan dan profesionalisme dalam mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Siasatan yang dijalankan mesti bersifat objektif, berlandaskan bukti saintifik dan bebas sepenuhnya daripada sebarang spekulasi.
“Pendekatan teknikal perlu diterapkan supaya semua faktor penyumbang dapat dikenal pasti secara mendalam dan tepat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Aziz berkata, satu sesi perbincangan berkala antara semua pihak berkepentingan perlu diadakan agar perkembangan siasatan dapat dikongsi secara terbuka dan telus.
Beliau berkata, penyediaan laporan interim juga penting supaya langkah pencegahan awal dapat dilaksanakan tanpa perlu menunggu laporan akhir.
“Pihak berkuasa juga disarankan mengadakan taklimat media secara konsisten bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat atau spekulatif yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
“Semua tindakan penyiasatan dan susulan juga wajib mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Tambah beliau, sebarang cadangan hasil siasatan perlu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang tegas dan berkesan bagi memperkukuh sistem keselamatan industri dan pelaksanaan penguatkuasaan.
“Kita juga perlu lihat keberkesanan pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 Construction Design and Management (CDM) yang baru dikuatkuasakan.
“Kita perlu melihat sejauh mana CDM ini dilaksanakan dan sama ada ia benar-benar mampu mencegah insiden seperti ini daripada berulang,” katanya.
Mengulas dakwaan tidak berasas yang timbul susulan tragedi itu, Aziz berkata, tindakan menuding jari sebelum siasatan lengkap disiapkan sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya mengeruhkan keadaan.
“Keutamaan sekarang ialah mencari punca sebenar kejadian dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan dengan segera. Ini bukan masa untuk menyalahkan mana-mana pihak tanpa fakta yang sah,” katanya.-UTUSAN