PETALING JAYA: Pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 63, hadir di Masjid Negara bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pagi tadi.
Menerusi sebuah klip yang tular, aktres itu hadir berselendang dan memakai kaca mata hitam sambil ditemani pengiring serta pengawal keselamatan.
Pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Academy atau Oscar bagi edisi Ke-95 itu bagaimanapun tidak berkongsi mengenai kepulangannya ke tanah air di media sosialnya setakat ini.
Istiadat Penghormatan Terakhir Perdana Menteri Kelima itu diawalkan kepada pukul 10 pagi dan berlangsung sehingga pukul 1 petang tadi sebelum dikebumikan selepas Zohor.
Kepulangan Yeoh dilihat sebagai memberi penghormatan kerana difahamkan beliau mempunyai hubungan baik dengan Allahyarham Abdullah yang banyak memberi sokongan kepada perjalanan kariernya.-UTUSAN