Meskipun menang di Kangar, keseluruhan calon dari kem Amin tewas

Meskipun menang di Kangar, keseluruhan calon dari kem Amin tewas

Noor Amin Ahmad (kiri) dan Gan Ay Ling
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penyandang Ketua cabang PKR Kangar, Noor Amin Ahmad berjaya mengekalkan kedudukan di situ dalam pertembungan sengit menentang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling dalam pemilihan parti itu, semalam.

Noor Amin memperolehi 1,295 undi sekali gus mengatasi Ay Ling yang mendapat 1,059 undi.

Bagaimanapun, calon daripada kem Noor Amin termasuk bagi jawatan Timbalan, Naib, Ketua Wanita dan kebanyakkan ahli jawatankuasa cabang berkenaan yang bertanding dalam pemilihan tersebut tewas.

Bagi jawatan Timbalan Ketua PKR Cabang Kangar, penyandang, Nor Azam Karap tewas mengejut kepada calon dari kem Ay Ling iaitu Nazman Omar yang berjaya memperoleh 1,212 undi sekali gus mengatasi bekas ADUN Kuala Perlis itu yang mendapat 1,134 undi.

Begitu juga bagi jawatan Naib Ketua PKR Cabang Kangar apabila calon dari kem Noor Amin iaitu Mohktar Che Kassim yang memperolehi 1,114 undi tewas kepada Som Chai Lom yang mendapat 1,233 undi.

Manakala bagi jawatan ahli jawatankuasa cabang, 15 calon dari kem Noor Amin tewas.

Di peringkat sayap, calon daripada pasukan Noor Amin bagi jawatan Ketua Wanita PKR cabang Kangar iaitu Maszeta Musa juga tewas. Beliau memperolehi 423 undi manakala Salmiza Shaari dari kem Ay Ling mendapat 631 undi.

Manakala bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Kangar, Khalid Imran Mas Ahmad Nasruddin yang memperoleh 271 undi berjaya menang jawatan itu dalam saingan tiga penjuru.

Sementara itu, Noor Amin berkata walaupun bukan semua dalam pasukannya menang namun mereka menang di hati majoriti anggota sebenar bahagian Kangar.

“Bukan anggota import pihak lawan. Terima kasih kepada semua anggota parti cabang Kangar yang mengambil bahagian dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya