ALOR SETAR: Kerajaan negeri yakin masalah bekalan air yang melanda negeri ini akan dapat diselesaikan setelah projek naik taraf lima loji rawatan air (LRA) siap sepenuhnya, tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kelewatan projek itu yang mengakibatkan masalah bekalan air berterusan ketika ini di luar jangkaan setelah pandemik Covid-19 melanda pada 2020.
“Isu air setiap hari raya orang akan mainkan tetapi Alhamdulillah tahun ini air berlebih-lebih. Ada orang kata janji nak siap 2023 kerana kita ucap itu pada 2020, tetapi tidak ada siapa tahu selepas ucapan itu kita kena kurung dua tahun.
“Bukan saya sahaja tak tahu, orang yang cakap itu pun tak tahu. Kita kena Covid dan perintah kawalan pergerakan (PKP) dua tahun jadi tempoh siap untuk semua loji baharu dianjakkan dua tahun ke depan. Insya-Allah, 2025 dan 2026 sebahagian besar iaitu empat daripada LRA kita akan siap.
“Pada masa itu saya berharap mereka yang sedang mencerca kita pada waktu ini jadi bisu, mereka tak ada apa nak cakap. Sementara mereka boleh cakap, cakaplah,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Mentaloon di sini semalam.
Projek menaik taraf lima LRA itu membabitkan LRA Pelubang, Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar.
Kelmarin, akhbar ini menyiarkan keluhan 150 penduduk di Taman Selat, Kuala Kedah setelah lapan hari terputus bekalan air pada musim perayaan yang menyukarkan aktiviti harian mereka.
Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) kemudian memaklumkan penggunaan air yang meningkat secara mendadak selain gangguan di waktu puncak menjadi faktor masalah bekalan air di kawasan perumahan itu.
Sementara itu kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri juga menepati janji untuk tidak mengenepikan mana-mana kaum dalam pembangunan sejajar dengan slogan Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua.
“Tidak ada yang akan dipinggir keadaan ini dibuktikan. Ketenangan dan perpaduan antara kaum dinikmati bersama, kita tidak tinggalkan mana-mana kaum,” katanya. – UTUSAN