MELAKA: Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini esok, bakal menyajikan menu pelbagai etnik dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang jarang dijumpai.
Setiausaha Bahagian Kolaborasi Strategik Kementerian Perpaduan Negara, Zaimy Shaari berkata, konsep itu dipilih supaya sambutan Hari Raya Aidilfitri dapat menjadi satu agenda perpaduan dan juga platform, di mana rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, budaya dan sebagainya hadir dengan penuh harmoni
Ujarnya, pihaknya menjangkakan kehadiran lebih 50,000 pengunjung membanjiri MITC dari Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan.
“Setakat ini persiapan sambutan anjuran bersama Kementerian Perpaduan Negara dan kerajaan negeri yang akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan lancar.
“Kita telah buat persiapan ini sebelum Hari Raya Aidilfitri lagi dan sambutan kali ini dijangka lebih meriah dengan pelbagai pengisian termasuk aktiviti Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri di pekarangan MITC,” katanya.
Zaimy berkata, selaras dengan tema ‘Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara’, pihaknya mengajak masyarakat untuk mengenakan pakaian tradisional etnik masing-masing semasa berkunjung ke majlis berkenaan.
Ujarnya, majlis akan bermula pada pukul 10 pagi dan dijangka berakhir pukul 4 petang.
“Kita memilih Melaka sebagai negeri pertama penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 yang juga diangkat sebagai penganjuran peringkat kebangsaan.
“Melaka ialah antara lapan negeri yang dipilih bagi penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 yang akan diikuti oleh Selangor (6 April), Pahang (11 April), Kelantan dan Pulau Pinang (12 April), Sarawak (19 April), Perak (25 April) dan Perlis pada 27 April,” katanya.-UTUSAN