PKR tidak terkesan

Menteri PKR kalah tidak digugurkan

ANWAR Ibrahim beramah mesra pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini, semalam. UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kekalahan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti baru-baru ini tidak akan menjejaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.

Menurut beliau, keputusan pemilihan tersebut adalah urusan dalaman parti semata-mata dan tidak ada kaitan langsung dengan kedudukan dalam kerajaan Persekutuan.

“Ini soal parti, bukan soal ke­ra­jaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan. Segala urusan Kabinet berjalan seperti biasa dan saya menilai menteri berdasarkan prestasi mereka, bukan melalui percaturan politik dalaman,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya

Aidilfitri anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini semalam.
Pemilihan PKR Peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) berlangsung sejak 11 April menyaksikan beberapa nama besar tumbang.

Antara yang tewas ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim (Hang Tuah Jaya), serta Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy (Bukit Bintang).

Turut kecundang, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir (Johor Bahru), serta beberapa Ahli Parlimen lain seperti Zahir Hassan (Wangsa Maju), P. Prabakaran (Batu), dan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).

Mengulas lanjut, Anwar berkata sebarang isu berkaitan pemilihan akan dibincangkan dalam mesyuarat khas parti yang dijadualkan Rabu ini.
“Tiada sebarang keperluan untuk rombakan Kabinet. Pemilihan ini bukan ukuran kepada prestasi mereka dalam kerajaan,” katanya.

Pemilihan PKR 2025 bermula pada 11 April dan dijangka berakhir pada 24 Mei ini.
Ia melibatkan proses pemilihan di peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), sebelum diteruskan ke peringkat Majlis

Pimpinan Pusat (MPP) yang akan menentukan hala tuju kepimpinan parti.

Terdahulu, Anwar diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPT, dihiburkan dengan lantunan lagu Azizah dinyanyikan Datuk Jamal Abdillah sambil disaksikan ribuan tetamu dan warga KPT.

Anwar yang juga Menteri Kewangan meluangkan masa kira-kira 30 minit yang disambut Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud.

Sementara itu pada sebelah tengah hari, di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Sains dan Teknologi (Mosti) di sini, semalam, Anwar sempat menyanyi bait lagu Tunggu sekejap… Jangan dikenang orang jauh, sebagai reaksi secara berseloroh kepada wartawan dengan mendendangkan lagu seniman negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Tunggu Sekejap ketika ditanya berhubung keputusan Pemilihan PKR.

Beliau kemudiannya meminta pemberita untuk membuat pencarian di Google tentang maksud lirik lagu tersebut sebelum meninggalkan majlis.

Reaksi spontan Presiden PKR itu seolah-olah menggambarkan beliau cuba meredakan ketegangan, tidak mahu memberi jawapan terus atau belum bersedia untuk mengumumkan sesuatu secara rasmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya