Menteri nafi dakwaan KPM tidak ambil perhatian kes pelajar SSTMI lemas - Utusan Malaysia

Menteri nafi dakwaan KPM tidak ambil perhatian kes pelajar SSTMI lemas

FADHLINA Sidek menyampaikan kit sambutan Hari Guru pada Pelancaran Gerakan Massa #terimakasihcikgu Peringkat Kebangsaan di Taiping. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Maklumat tular mengatakan kematian pelajar 16 tahun yang dilaporkan lemas di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor tidak diambil perhatian,  tidak benar sama sekali.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebaliknya perkara terkait siasatan kes dan kebajikan keluarga sedang ditangani dengan teliti.

Menurutnya, kes tersebut sememangnya sedang berada dalam perhatian pihak berkuasa dan laporan polis telah dibuat pada hari yang sama kemalangan itu berlaku.

Katanya, status terkininya adalah ia masih berada dalam siasatan pihak berkuasa.

“Di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), kita memang pastikan kebajikan keluarga terpelihara. Siasatan dalaman juga sedang dilaksanakan oleh Unit Integriti KPM.

“Pihak KPM sentiasa berhubung dengan keluarga bagi memastikan bantuan-bantuan yang layak diberi dapat disalurkan segera kepada keluarga.

“Ini termasuk menyelesaikan proses tuntutan insurans takaful, insurans sukan dan perkara-perkara lain. Sumbangan awal kepada keluarga telah diserahkan sejurus selepas kejadian,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Pelancaran Gerakan Massa: #terimakasihcikgu Peirngkat Kebangsaan di sini hari ini.

Menurutnya, KPM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga atas kemalangan tersebut.

Beliau berkata, kunjungan ziarah cakna ke atas keluarga telah diadakan pada bulan November tahun lalu dan pada bulan Februari lepas.

“Jadi, ingin saya tegaskan informasi tular mengatakan kes ini tidak diambil perhatian adalah tidak benar sama sekali. Perkara terkait siasatan kes dan kebajikan keluarga sedang ditangani dengan teliti.

“Tiada kompromi kepada isu-isu yang terkait dengan keselamatan murid. Justeru, saya berjanji tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa sahaja jika terbukti terdapat kecuaian atau pelanggaran prosedur standard operasi (SOP) dalam kejadian kemalangan ini,” katanya.

Sebelum ini, Ibu dan bapa kepada Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal, 16, menuntut satu siasatan yang adil berhubung kematian pelajar berkenaan yang dilaporkan lemas di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya