PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) dapat dibuka dan beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau belum menerima maklumat terkini secara rasmi pengurusan baharu mengenai perkara itu.
“Ada beberapa aspek kita perlu tahu bahawa operasi pemancar telekomunikasi di atas menara itu terus berfungsi dengan baik.
“Tapi kita harap dalam tempoh yang terdekat ia akan dibuka semula,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Katanya, orang ramai juga perlu memahami bahawa menara itu kini sedang ditambah baik dan diselenggara bagi memastikan aspek keselesaan dan keselamatan pengunjung diatasi segera.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan kerajaan mengusir operator lama Menara Kuala Lumpur, iaitu Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn. Bhd. adalah berlandaskan undang-undang.
Katanya, Menara KL itu adalah hak milik penuh kerajaan dan tindakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang memasuki premis Menara KL juga bukan bersifat penindasan.
Baru-baru ini, MKLSB bersama Hydroshoppe membuat laporan polis berhubung insiden kerosakan dan kemusnahan terhadap barangan milik syarikat berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan permohonan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua agensi dan jabatan kerajaan menghentikan penggunaan istilah kuil haram.
“Tak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini,” katanya.
Saravanan yang juga bekas menteri pada Isnin mengemukakan rayuan itu susulan maklum balas daripada pihak pengurusan Hospital Taiping terhadap aduan berhubung sebuah tempat ibadat yang terletak di kawasannya. – UTUSAN