JOHOR BAHRU: Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas pertuduhan merompak dua wanita di Kulai di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Abdur Razzaq Suppiah Abdullah, 36, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan.
Di hadapan Hakim, Thalha Bachok@Embok Mok, bapa tunggal itu didakwa merompak seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun sehingga mangsa cedera parah di lorong belakang sebuah kedai di Jalan Sri Putra 1, Bandar Putra, pada pukul 8.45 pagi, 4 April lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim pula, tertuduh didakwa merompak seorang wanita tempatan berusia 37 tahun di sebuah kedai dobi layan diri di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai pada pukul 8.45 pagi, pada hari yang sama dengan kes pertama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Maisarah Hassan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan RM20,000 jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin juga mencadangkan jaminan RM20,000 sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin.
Abdur Razzaq yang tidak diwakili peguam bela itu memohon jumlah jaminan lebih rendah memandangkan dia yang sudah bercerai dan menanggung anak tunggalnya yang berusia 12 tahun.
“Saya hanya bekerja sendiri, iaitu membaiki motosikal di rumah dengan pendapatan yang tidak menentu, kira-kira RM1,500 sebulan,” katanya.
Hakim Thalha dan Che Wan Zaidi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM9,000 dan RM10,000 serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh sebutan kedua-dua kes. – UTUSAN