PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memastikan perkhidmatan komunikasi di sekitar Putra Heights, Puchong dan beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) kekal stabil susulan insiden kebakaran saluran gas Petronas yang berlaku pada Selasa lalu.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, insiden tersebut menjejaskan sembilan struktur telekomunikasi di sekitar kawasan kejadian.
Katanya, enam daripadanya milik U-Mobile, Maxis (2) dan CelcomDigi (1).
“Semua struktur ini mengalami gangguan bekalan elektrik. Hasil tindakan pemulihan segera oleh syarikat penyedia perkhidmatan (Telco), semua perkhidmatan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada hari yang sama.
“Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Internet kepada para petugas dan mangsa yang berlindung di PPS Masjid Putra Heights, pihak Telco telah mengambil langkah segera dengan mengoptimumkan struktur sedia ada untuk memenuhi peningkatan keperluan perkhidmatan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sebuah unit Mobile Cellular Vehicle (MCV) turut digerakkan ke lokasi bagi meningkatkan lagi kualiti liputan di kawasan berkenaan.
Pada masa sama, katanya,Telekom Malaysia (TM) telah menyediakan kemudahan wifi percuma di dua lokasi PPS sebagai langkah tambahan.
“Sebagai sokongan kepada mangsa yang terkesan, pihak Telco kini sedang giat berhubung dengan pelanggan mereka bagi menawarkan bantuan seperti penggantian kad SIM dan peranti yang rosak, penyelarasan bil serta membuka kaunter perkhidmatan khas di lokasi PPS untuk memudahkan urusan mereka.
“MCMC akan terus memantau secara rapi dan bekerjasama dengan semua pihak terlibat bagi memastikan kualiti perkhidmatan komunikasi kekal pada tahap terbaik khususnya kepada mangsa yang berlindung di PPS,” katanya. – UTUSAN