KLANG : Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menguatkuasakan larangan pengambilan pekerja asing termasuk pemastautin tetap (PR) sebagai pembantu di semua gerai dan kios bawah pengurusan pihak nya berkuat kuasa mulai 1 Jun depan.
Menurut Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang,Norfiza Mahfiz, larangan tersebut melibatkan semua penyewa gerai makanan, minuman dan kios di pasar-pasar awam milik majlis.
“Hanya warganegara Malaysia dibenarkan bekerja sebagai pembantu gerai. Semua pembantu juga wajib didaftarkan dengan MBDK,” katanya di sini hari ini.
Norfiza berkata, langkah tersebut diambil bagi mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta memperkemas sistem pemantauan dan pendaftaran pekerja di gerai-gerai kendalian majlis.
Katanya lagi, pihaknya turut mengingatkan penyewa supaya mematuhi peraturan baharu ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang atau pembatalan lesen sewaan.
“Kami ingin memastikan peluang pekerjaan dalam sektor kecil dan sederhana seperti ini diberi keutamaan kepada warga tempatan, selaras dengan aspirasi kerajaan,” jelasnya.
Maklumat lanjut serta prosedur pendaftaran pembantu gerai boleh diperoleh melalui Pejabat MBDK atau menerusi laman sesawang rasmi majlis tersebut.-UTUSAN