MBDK, JAS kesan aktiviti pencemaran

MBDK, JAS kesan aktiviti pencemaran

ANAK sungai tercemar mengalir sehingga ke laut melalui Pangkalan Nelayan Sungai Udang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pihak berkuasa mengesan aktiviti pembersihan lori minyak dekat Jalan Ikan Bawal, di sini pa­da awal Januari lalu dipercayai men­jadi antara punca pencemaran anak Sungai Teluk Gong yang mencetuskan bau busuk serta perubahan warna airnya.

Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Zon N46C, Mohd. Fauzi Othman berkata, tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa termasuk MBDK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebaik sahaja menerima aduan berhubung perkara tersebut.

“Baru-baru ini memang ada adu­an daripada penduduk yang ka­mi terima berhubung masalah bau toksik, tetapi tidak diketahui puncanya sama ada dari Teluk Gong sendiri atau kawasan perindustrian berhampiran di Pulau Indah.

“Namun, ada insiden pembuangan sisa minyak mengalir ke dalam longkang dan seterusnya ke anak sungai dari sebuah lori minyak. Selain itu, baru-baru ini juga JAS datang ke Teluk Gong untuk mengambil sampel air,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, bagi mengatasi isu pencemaran dan masalah perindustrian di situ, pihaknya mengenal pasti lebih 300 kilang berada dalam zon dibenarkan dan kira-kira 30 kilang dibina di dalam kawasan pertanian.

“Kalau mengikut Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK), kilang di dalam kawasan yang dibenarkan tiada masalah untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan lesen sementara, namun kilang di dalam kawasan pertanian sudah melanggar syarat guna tanah,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Bandar Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain memaklumkan, pihaknya masih memantau kewujudan kilang-kilang haram di Teluk Gong dengan melaksanakan Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, pemantauan tersebut turut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung isu pencemaran berpunca daripada operasi kilang-kilang berkenaan.

“Bila kita melaksanakan Program Pemutihan KTK, pengu­sahanya perlu mematuhi syarat-syarat termasuk berkaitan hal­-hal yang menyebabkan pencema­ran. Pengecualian yang dikenakan dalam program tersebut hanyalah melibatkan syarat-syarat ringan.

“Syarat utama seperti syarat guna tanah dan sebagainya tetap perlu dipatuhi oleh pe­ngusaha sebelum kelulusan pemutihan terhadap mereka diberikan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya