KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhrar mengesahkan beliau ‘ditahan’ ketika tiba dan pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah, pada 6 serta 7 April lalu.
Naib Presiden Pas itu berkata, gambar beliau ditahan yang viral dalam media sosial itu ketika berada di lapangan tersebut pada 7 April.
Katanya, beliau terpaksa mendapatkan pull aside on hold sebelum meneruskan perjalanan ketika tiba dan balik dari negeri tersebut.
Katanya, gambar tersebut dirakam oleh orang awam ketika pulang pada 7 April.
“Tulisan saya yang mengandungi 18 para/point pada hari Khamis 10 April itu telah saya tulis setelah terjadi kes pull aside on hold (untuk mendapat pelepasan dari cawangan khas) adalah ketika saya ke Sabah pada Ahad 6 April dan pulang pada Isnin, 7 April.
“Pergi dan balik – berlaku pull aside on hold. Gambar (yang saya yakin diambil oleh orang awam) berkenaan adalah ketika balik pada Isnin 7 April” katanya menerusi WhatsApp kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan Ahmad Samsuri didakwa kononnya ‘ditahan’ di sebuah lapangan terbang di negara ini selepas viral gambar Ahli Parlimen Kemaman itu di sebuah lapangan terbang.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri dalam kenyataan berkata, beliau telah dilabel sebagai individu di bawah pemantauan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) sejak tahun lalu sehingga pergerakannya dipantau secara ketat oleh pihak tertentu.
Menurutnya, beliau juga perlu melalui prosedur kawalan keselamatan ketat, termasuk ketika berada di sempadan Sabah dan Sarawak, selain memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan melakukan perjalanan ke destinasi tertentu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, tiada keperluan untuk meletakkan Ahmad Samsuri dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.
Katanya, dakwaan Ahmad Samsuri bahawa dirinya diletakkan di bawah status individu berisiko walaupun tanpa sebarang kesalahan sahih adalah tidak benar. – UTUSAN